7.26.2011

Bapa bayi kesal kenyataan hospital

KOTA BHARU 12 Julai - Keluarga Nur Ayreen Imanie, bayi yang didakwa jari dan tangan kiri menjadi hitam dan mengecut selepas menerima rawatan akibat masalah pernafasan, kesal dengan kenyataan Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ), Datuk Dr. Ghazali Md. Hassan.

Bapa bayi tersebut, Ismail Lee Abdullah, 30, mendakwa, mustahil pihak hospital belum menerima apa-apa laporan mengenai insiden tersebut memandangkan perkara itu sudah lama berlaku dan aduan mengenainya telah pun dibuat.

"Kami sudah buat aduan ini melalui Pegawai Perhubungan Awam (PR) HRPZ II. Malah kami ada datang ke pejabat Pengarah pada April lalu, memang dapat jumpa dia (Pengarah), itupun sekejap kerana alasannya sibuk dengan mesyuarat. Maka kami dilayan oleh PR tersebut," dakwanya semasa dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Dr. Ghazali kelmarin, bahawa pihak hospital tidak menerima sebarang aduan atau laporan berhubung dakwaan ibu bapa bayi berkenaan daripada kakitangan hospital.

Dr. Ghazali pada masa yang sama meminta bayi terbabit dibawa ke HRPZ II bagi menerima rawatan kerana dalam keadaan sekarang bayi tersebut sepatutnya berada di hospital, bukannya di rumah.

Beliau mengulas laporan mengenai sepasang suami isteri yang terkejut apabila jari dan tangan kiri bayi perempuan mereka berusia enam bulan menjadi hitam dan mengecut selepas menerima rawatan di sebuah hospital kerajaan di sini.

Mengulas lanjut, Ismail turut tidak berpuas hati dengan pegawai hospital terbabit apabila mengatakan doktor tidak pernah melakukan sebarang kecuaian sebaliknya memberitahu, doktor hanya tersalah cucuk bayi berkenaan.

Dia turut menyangkal dakwaan kononnya anaknya kini tidak mendapat rawatan di hospital sebaliknya hanya berada di rumah.

"Sehingga kini anak saya terus mendapat rawatan lanjut di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dengan bantuan tenaga pakar di sana. Bukan terbiar macam itu sahaja tanpa rawatan," katanya.

Ditanya kemungkinan dia akan mengambil tindakan undang-undang, Ismail berkata, pihaknya sudahpun membuat perbincangan ke arah itu dan ia akan diputuskan selepas ini. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.